ALUAN PENGERUSI

YBrs. Dr. Khairul Anuar Che Azmi

Kata Aluan Pengerusi MPUU

Setelah hampir dua puluh tahun penubuhan Majlis Penasihat Undang-Undang (MPUU) Universiti Awam, yang ditubuhkan pada tahun 2005, ramai di antara kita kadangkala terlupa betapa perjuangan mewujudkan dan memperkasakan jawatan Penasihat Undang-Undang (PUU) di kesemua 20 Universiti Awam telah melalui pelbagai fasa pahit, getir dan manis bagi memenuhi tuntutan agar setiap Universiti Awam mempunyai pejabat khusus untuk PUU masing-masing.

Semasa cadangan penubuhan awalnya, MPUU menggunakan hasil pendapat Naib-Naib Canselor pada tahun 2004 yang mana tinjauan pendapat Naib-Naib Canselor pada masa tersebut menyatakan yang penubuhan MPUU adalah satu keperluan bagi tujuan menyelaras dan menyediakan pengawasan secara berpusat mengenai perkara yang berkaitan dengan undang-undang di Universiti Awam.

MPUU bermula kecil dengan hampir setiap Universsiti Awam pada waktu tersebut teragak-agak untuk menubuhkan pejabat PUU masing-masing. Hanya bermula pada tahun 2011, secara beransur-ansur hasil daripada pindaan AUKU 1971 pada tahun 2009, perjawatan PUU dan pegawai undang-undang mula pesat berkembang.

Dengan kapasiti terhad MPUU, kita menjalin hubungan dan bekerjasama dengan perjawatan utama pentadbiran di Universiti terutamanya Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan. Memandangkan undang-undang adalah asas penting governan sesuatu institusi, maka kekananan dan kepentingan perjawatan PUU telah makin diterima di Universiti Awam dan dengan sokongan semua pemegang taruh utama di Universiti Awam, MPUU bertapak kukuh dan mewujudkan hubungan timbal balik yang membantu Universiti Awam semasa era pandemik, peralihan kepada pembelajaran dalam talian dan peningkatan kes tatatertib dan penipuan kontrak serta penyalahgunaan kecerdasan buatan generatif.

Sehingga Jun 2024, MPUU dianggotai oleh 110 PUU dan Pegawai Undang-Undang mewakili Universiti Awam masing-masing. MPUU secara aktifnya sentiasa terlibat secara langsung dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjaga dan menggubal perundangan di Universiti Awam.


Dr. Khairul Anuar Che Azmi
Pengerusi MPUU
2024/2025