MENGENAI KAMI

Majlis Penasihat Undang-Undang Universiti Awam Malaysia

Pengenalan

Majlis Penasihat Undang-Undang (MPUU) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah sebuah majlis yang ditubuhkan melalui resolusi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor IPTA dalam mesyuarat Bil.1/2005 pada 11 Mac 2005. Secara umumnya, komposisi MPUU terdiri daripada Penasihat dan Pegawai Undang-Undang Universiti yang akan melaksanakan semua tugas yang diberikan di bawah AUKU 1971 [Akta 30], Perlembagaan Universiti dan perundangan subsidiari Universiti yang lain seperti Statut,Kaedah dan Peraturan.

Mesyuarat Ke-16 Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor IPTA BIL.2/2011 telah bersetuju dan meluluskan cadangan MPUU untuk menetapkan yuran keahlian tahunan setiap IPTA sebanyak RM2,000 setahun. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga bersetuju untuk memberi sejumlah peruntukan kepada Pejabat Undang-Undang setiap IPTA dalam bentuk geran operasi.

Sehingga 17 Ogos 2022, MPUU dianggotai oleh 107 Penasihat/Pegawai Undang-Undang mewakili IPTA masing-masing. MPUU secara aktifnya sentiasa terlibat secara langsung dengan KPT dalam menggubal perundangan di IPTA sejak tahun 2007 lagi. Semakan dan pindaan AUKU serta penggubalan undang-undang subsidiari yang terkesan akibat dari pindaan AUKU 2009 juga merupakan hasil kerja MPUU yang dibuat atas semangat sepasukan IPTA.

MPUU telah terlibat dan bekerjasama secara langsung dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menggubal pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) pada tahun 2009 yang lalu.

Sebahagian besar ahli MPUU juga terlibat dalam menyediakan perlembagaan/statut baru IPTA bersesuaian dengan pindaan AUKU yang baharu.

Tujuan Penubuhan MPUU

di antara lainnya adalah seperti berikut:-

Melaksana, menjalan dan menunaikan segala kuasa, fungsi dan kewajiban yang diputuskan oleh JKNC terhadap MPUU

Menganjurkan seminar, persidangan dan mesyuarat bagi membincangkan isu-isu perundangan yang melibatkan kepentingan IPTA

Menjalankan latihan dan kursus jangka pendek kepada pegawai yang bertanggungjawab mengenai undang-undang di IPTA

Mengemukakan kepada JKNC sebarang cadangan bagi menambahbaik atau meminda undang-undang berkaitan IPTA